Penjujukan Eksom Bagi Penyakit Jarang Jumpa, Mullerian Agenesis dan Agenesis Anotectal anomaly: Kajian Kes
Abstract
Agenesis Mullerian atau Sindrom Mayer-Rokitansky-Kuster-Hauser (MRKH) Jenis II ialah kecacatan kongenital pada saluran Mullerian yang mengakibatkan ketiadaan uterus pada wanita. Etiologi sindrom ini tidak diketahui dan telah dianggap sebagai penyakit genetik sporadik. MRKH bersama dengan anomali anorektal, amat jarang berlaku dan hanya dilaporkan dalam beberapa kes sehingga kini, tanpa sebarang maklumat mengenai analisis genetik. Kajian ini dilakukan untuk menentukan profil mutasi kanak-kanak perempuan yang didiagnosis dengan MRKH dan anomali anorektal dengan fistula rektovagina. Analisis trio-genetik penjujukan keseluruhan eksom (WES) terhadap seorang kanak-kanak perempuan Malaysia berusia 5 tahun yang didiagnosis dengan MRKH dan anomali anorektal dengan fistula rektovagina, dilakukan bersama dengan sampel ibu bapanya yang normal dengan menggunakan kit Ion AmpliSeq™ Exome RDY (Thermo Fisher Scientific). Data dianalisis menggunakan Torrent Suite v.5.0.4 dan dianotasi menggunakan ANNOVAR. Polimorfisme nukleotida tunggal (SNP) dengan kekerapan alel >0.01 dikecualikan dan varian selebihnya ditapis berdasarkan mutasi de novo dan sifat pewarisan autosomal resesif dan digenik autosomal resesif. Gen yang berkaitan kemudiannya dianalisis dengan Analisis pengayaan fungsi dan tapak jalan (g:Profiler) serta interaksi protein-protein (HIPPIE v.2.3, STRING v.11.5, dan GeneMANIA). Sebanyak 36 mutasi telah dikenalpasti, dan dua daripadanya adalah LHX5 (p.P358Q) yang diwarisi daripada ayah dan CFTR (p.R1158X) yang diwarisi daripada ibu. Jumlah mutasi de-novo adalah sebanyak 28 mutasi dalam 28 gen. Kesemua gen-gen ini terlibat dalam 27 proses biologi yang dihubungkan dengan 23 interaksi. Sebanyak dua mutasi diwarisi dan 28 mutasi de-novo dalam 30 gen yang boleh berinteraksi antara satu sama lain dan berkemungkinan menyebabkan sindrom MRKH pada pesakit ini.
Keywords
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.
Please contact the Chief Editor for any inquiries about the journal. For any technical difficulties please contact our technical support.
eISSN : 2289-4535
ISSN : 1675-8161