KECERDASAN EMOSI, KEPIMPINAN DAN HUBUNGANNYA DENGAN KEPUASAN KERJA DALAM KALANGAN KETUA GURU BIMBINGAN DAN KAUNSELING SEKOLAH MENENGAH

Tengku Elmi Tengku Muda

Abstract


Kecerdasan emosi merupakan kemahiran penting bagi meningkatkan kompetensi seseorang kaunselor untuk meningkatkan keberkesanan kepimpinan. Selain itu, kecerdasan emosi yang tinggi akan memberi kesan kepada kepimpinan dan kepuasan kerja. Oleh yang demikian, kajian ini bertujuan untuk melihat tahap kecerdasan emosi, kepimpinan dan hubungannya dengan kepuasan kerja dalam kalangan ketua guru bimbingan dan kaunseling sekolah menengah harian. Seramai 168 orang ketua guru bimbingan dan kaunseling dari 168 buah sekolah menengah harian di Selangor telah dipilih sebagai sampel kajian. Bagi tujuan mengukur tahap kecerdasan emosi, Inventori Kepintaran Emosi Malaysia (IKEM) telah digunakan. Manakala Instrumen kepimpinan Malaysian Leadership Audit Trail Inventory (MLATI) oleh Elmi-Noriah (2013) digunakan untuk mengukur tahap kepimpinan. Instrumen untuk mengukur tahap kepuasan kerja pula menggunakan menggunakan ‘Job Descriptive Index’(1975). Dapatan kajian menunjukkan bahawa ketua guru bimbingan dan kaunseling memperoleh peratus skor yang tinggi bagi tujuh domain kecerdasan emosi (Kesedaran Kendiri, Regulasi Kendiri, Motivasi Kendiri, Empati, Kemahiran Sosial, Kerohanian dan Kematangan). Walau bagaimanapun, hasil kajian mendapati ketua guru bimbingan dan kaunseling mempunyai peratus skor yang sederhana pada sub-domain kecerdasan emosi iaitu komponen membantu orang lain, kesedaran politik, pemangkin perubahan, membina hubungan, kolaborasi, kerja berpasukan dan komunikasi. Kajian ini juga mendapati bahawa tahap kepimpinan secara keseluruhan bagi ketua guru bimbingan dan kaunseling adalah di peringkat sederhana. Analisis berdasarkan komponen menunjukkan bahawa ketua guru bimbingan dan kaunseling didapati berada pada tahap sederhana bagi komponen Penempatan, Penilaian dan Penghormatan, Penglibatan dan Pengekalan, Pembinaan Kepimpinan, Rekrut dan Hubungan dengan Pemegang Setara/Stakeholders, kecuali bagi komponen Strategi Perkhidmatan dan Model Kepimpinan yang mencatatkan peratus yang tinggi. Kajian juga menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antara kecerdasan emosi dengan kepuasan kerja dan kepimpinan dengan kepuasan kerja dalam kalangan ketua guru bimbingan dan kaunseling sekolah menengah. Kesimpulannya semakin tinggi tahap kecerdasan emosi semakin tinggi tahap kepuasan kerja ketua guru Bimbingan Dan Kaunseling. Implikasi kajian ini adalah dapat membantu guru kaunseling terutama ketua dalam membuat penilaian kendiri untuk meningkatkan lagi profesionalisme guru kaunseling. Selain daripada itu hasil kajian ini dapat membantu pentadbir sekolah dan Kementerian Pendidikan Malaysia untuk merangka program bersesuaian dalam meningkatkan kompetensi Guru Bimbingan Dan Kaunseling.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


-


 

_________________________________________________

eISSN 1823-884x

Faculty of Social Sciences & Humanities
Universiti Kebangsaan Malaysia
43600 UKM Bangi, Selangor Darul Ehsan
MALAYSIA

© Copyright UKM Press, Universiti Kebangsaan Malaysia