Highly Active Antiretoviral Therapy (HAART), Sokongan Sosial Dan Kaunseling : Perspektif Individu HIV Positif (PLHIV)

NAJWA AFIQA ROSHAIZAD, MOHD SUHAIMI MOHAMAD

Abstract


Kehidupan dengan HIV positif merupakan suatu perjalanan yang penuh dengan cabaran serta perlu menempuh pelbagai perkara yang sukar dan tidak diingini. Walaubagaimanapun, rawatan HAART telah memberikan sinar kepada golongan ini. Kaunseling berperanan sebagai satu bentuk sokongan sosial yang amat diperlukan oleh mereka yang hidup dengan HIV (PLHIV), memandangkan mereka sering berdepan dengan pelbagai isu seperti stigma dan diskriminasi. Justeru, kajian ini dijalankan untuk meneliti pengalaman dan persepsi PLHIV terhadap rawatan HAART, sokongan sosial serta perkhidmatan kaunseling, berdasarkan sudut pandang mereka sendiri. Kajian ini menggunakan pendekatan kualitatif di mana temubual secara mendalam telah dijalankan bersama lima orang PLHIV yang merupakan penghuni Rumah Teduhan Kasih. Informan kajian dipilih melalui kaedah persampelan bertujuan, manakala data dianalisis menggunakan teknik analisis tematik bagi memperoleh pemahaman yang lebih terperinci berkaitan objektif kajian. Kesemua informan berumur antara 38 hingga 60 tahun, dan telah menjalani rawatan HAART selama lebih daripada lima tahun. Dapatan kajian menunjukkan bahawa para informan mempunyai pandangan yang pelbagai terhadap rawatan HAART, bentuk sokongan sosial yang diperoleh serta perkhidmatan kaunseling yang disediakan oleh institusi kesihatan. Di samping itu, hasil kajian turut mendapati bahawa walaupun tergolong dalam kelompok minoriti, para informan tidak berasa keberatan untuk menghadiri sesi kaunseling dan menganggap perkhidmatan tersebut sebagai usaha yang penting dalam usaha mempertingkatkan kualiti hidup PLHIV. Secara keseluruhannya, kajian ini diharap dapat menyumbang kepada pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai persepsi dan pandangan PLHIV terhadap rawatan HAART, bentuk sokongan sosial yang diperlukan serta keberkesanan perkhidmatan kaunseling, sekaligus memberi penambahbaikan dalam bidang kaunseling serta pelaksanaan intervensi yang lebih berkesan pada masa akan datang.


Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


ISSN: 0126-5008

eISSN: 0126-8694