Meningkatkan Moral Cukai melalui Penerapan Elemen Ganjaran Cukai
Abstract
Isu ketirisan hasil cukai negara disebabkan oleh masalah ketidakpatuhan yang berpanjangan memberi signal akan kemungkinan terdapatnya elemen lain yang perlu diberi perhatian dalam strategi pematuhan sedia ada. Tahap moral cukai yang tinggi terutamanya individu adalah penting dalam meningkatkan tingkah laku pematuhan cukai. Moral cukai merupakan motivasi dalaman untuk memenuhi tanggungjawab percukaian yang boleh didorong dengan strategi pematuhan yang diguna pakai oleh pentadbir cukai. Isu berkaitan peningkatan moral cukai melalui ganjaran cukai khususnya di negara sedang membangun kurang mendapat perhatian dalam kalangan pengkaji. Kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti hubungan strategi pematuhan terhadap moral cukai dalam kalangan pembayar cukai individu di Malaysia. Penumpuan diberikan terhadap tiga strategi sedia ada yang diguna pakai di Malaysia iaitu penguatkuasaan (audit dan penalti cukai), pendidikan cukai serta layanan oleh pentadbir cukai di samping meneroka potensi penerapan elemen ganjaran cukai dalam usaha bagi mendorong moral cukai. Data kajian dipungut menggunakan instrumen soal selidik yang dihantar kepada pembayar cukai individu melibatkan ahli akademik Institut Pengajian Tinggi Awam seluruh Malaysia. Berpandukan kepada 501 maklum balas yang diterima, analisis dijalankan bagi menjawab objektif kajian. Hasil analisis regresi berganda menemui strategi penguatkuasaan, pendidikan cukai serta ganjaran cukai terbukti mampu meningkatkan moral cukai individu di Malaysia. Namun, strategi layanan pentadbir cukai yang tidak signifikan memberi isyarat akan keperluan penambahbaikan dalam mutu perkhidmatan yang diberikan. Kajian ini berjaya menambah literatur berkaitan moral cukai dengan mengesahkan pengaruh strategi pematuhan terhadap moral cukai di samping menyerlahkan potensi pelaksanaan ganjaran cukai sebagai salah satu strategi dalam persekitaran percukaian di Malaysia. Penemuan kajian ini dapat dijadikan platform dalam menyalurkan input yang relevan kepada pentadbir cukai serta pembuat dasar khususnya Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam menilai, menambahbaik serta merangka strategi pematuhan dengan misi membudayakan pematuhan cukai terutamanya dalam kalangan pembayar cukai individu..
Kata kunci: moral cukai; pentadbir cukai; ganjaran cukai; pendidikan cukai; penguatkuasaan
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.
This journal is indexed by:
ISSN : 2180-3838
e-ISSN : 2716-6060