Pengetahuan, Sikap dan Amalan Masyarakat di Kuala Lumpur Terhadap Kempen Pencegahan Jenayah Penipuan Dalam Talian
Abstract
Pemahaman masyarakat terhadap sesuatu kempen yang diadakan sangat penting yang mana ia menunjukkan sama ada tujuan dan objektif sesuatu kempen itu tercapai. Kempen pencegahan jenayah penipuan dalam talian yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) adalah bertujuan memberi pengetahuan, meningkatkan kesedaran, membentuk sikap dan amalan untuk mengelakkan masyarakat menjadi mangsa jenayah penipuan dalam talian. Walaupun saban tahun kempen seumpamanya dilaksanakan, namun masyarakat masih menjadi mangsa. Oleh itu, pemahaman masyarakat terhadap pencegahan jenayah penipuan dalam talian harus ditingkatkan dari semasa ke semasa memandangkan modus operandi jenayah tersebut yang sentiasa berubah, dan salah satu kaedahnya adalah melalui kempen. Justeru, kajian ini dijalankan untuk mengkaji pemahaman masyarakat terhadap kempen pencegahan jenayah penipuan dalam talian yang dilihat dari sudut pengetahuan, sikap dan amalan masyarakat terhadap kempen. Metodologi kajian adalah pendekatan kualitatif, iaitu temu bual kumpulan fokus. Seramai 21 orang informan terdiri daripada masyarakat di sekitar Kuala Lumpur yang telah menghadiri kempen pencegahan jenayah penipuan dalam talian telah ditemu bual melalui tiga kumpulan fokus mengikut tiga daerah utama iaitu Brickfields, Sentul dan Dang Wangi. Hasil kajian mendapati bahawa ketiga-tiga elemen pengetahuan, sikap dan amalan adalah saling berkaitan dan masyarakat di kawasan kajian mempunyai pengetahuan yang baik terhadap kempen pencegahan jenayah penipuan dalam talian terutama dari segi tujuan dan mesej yang disampaikan di dalam kempen. Sikap masyarakat terhadap kempen pula positif kerana mereka berkeyakinan bahawa kempen tersebut mendatangkan kebaikan dan manfaat kepada masyarakat umum. Amalan masyarakat berada pada tahap yang baik terhadap kempen kerana mempraktikkan nasihat yang diterima semasa kempen.
Kata kunci: Jenayah siber, komersial, media sosial, teknologi, literasi.
Full Text:
PDFReferences
Creswell, J. W., & Poth. C. N. (2018). Qualitative inquiry and research design: Choosing among five traditions (4th ed.). Los Angeles, CA: Sage.
Donny, P., & Irwansyah. (2020). Memahami masyarakat dan perspektifnya. Jurnal Manajemen Pendidikan dan Ilmu Sosial, 1(1), 163-175.
Fatin Adha Murad, Mohammad Rahim Kamaluddin, Wan Shahrazad Wan Sulaiman, & Rozainee Khairudin. (2019). Psikologi kemangsaan jenayah penipuan komersil: Tinjauan literatur. Jurnal Psikologi Keselamatan, 1, 60-86.
Muhammad Adnan Pitchan, & Siti Zobidah Omar. (2019). Dasar keselamatan siber Malaysia: Tinjauan terhadap kesedaran netizen dan undang-undang. Jurnal Komunikasi: Malaysian Journal of Communication, 35(1), 103-119.
Natrah Mat Kasim, & Lilia Halim. (2021). Faktor yang mempengaruhi amalan penjimatan air dalam kalangan pengguna (Conference paper). Paper presented at International Conference on Business Studies and Education (ICBE), pp. 111-120.
Sharifah Akmam Syed Zakaria, & Ahmad Shukri Yahaya. (2006). Tinjauan tentang reaksi emosi di tempat kerja: Satu aspek pengurusan sumber manusia dalam organisasi. Jurnal Teknologi, 44, 1–11.
Refbacks
- There are currently no refbacks.
e-ISSN: 2289-1528