HUBUNGKAIT KOMUNIKASI KESIHATAN DENGAN KESAN HIRARKI ISU KESIHATAN TERHADAP PERUBAHAN AMALAN GAYA HIDUP SIHAT
Abstract
Kajian ini adalah mengenai perancangan komunikasi kesihatan dan amalan gaya hidup sihat. Tujuan utama kajian ini adalah untuk meninjau apakah faktor-faktor yang perlu diambilkira dalam perancangan komunikasi kesihatan untuk mengubah amalan gaya hidup sihat . Selaras dengan itu, objektif kajian ini adalah untuk melihat hubungan antara beberapa faktor psiko-sosial dan komunikasi yang berperanan untuk membawa perubahan dalam gaya hidup individu iaitu membabitkan aktiviti fizikal dan pemakanan sihat. Satu kerangka model kajian yang dibina berasaskan gabungan Model Kepercayaan Kesihatan, Teori Tindakan Bersebab dan Teori Penglibatan Rendah telah digunakan. Untuk mengumpul data, kaedah tinjauan telah digunakan dengan menemubual secara bersemuka seramai 290 orang responden berumur di antara 18 hingga 82 tahun. Kajian telah dijalankan di 7 kawasan bandar dan luar bandar iaitu sekitar Kuala Lumpur (Sentul, Jinjang dan Bangsar), Selangor (Batang Berjuntai, Sungai Buloh dan Bangi), Perak (Slim River, Tanjung Malim, dan Sitiawan) dan Putra Jaya. Hasil kajian dibahagikan kepada dua komponen utama iaitu saringan kesihatan asas dan pengaruh faktor psikososial serta komunikasi terhadap amalan kesihatan (aktiviti fizikal dan pemakanan sihat). Saringan kesihatan asas menunjukkan majoriti responden mempunyai petunjuk antropometri yang tidak normal terutamanya jisim indeks tubuh dan kadar lemak badan yang berlebihan. Berhubung amalan gaya hidup pula, majoriti responden berada dalam kategori yang aktif (79%) , manakala 76% responden tidak mengambil sayuran dan buahbuahan yang secukupnya. Hasil kajian memperlihatkan faktorfaktor komunikasi (penglibatan kesihatan, tindakan pencarian maklumat kesihatan dan rujukan untuk bertindak) mempengaruhi responden ke arah perubahan kesihatan secara positif. Penglibatan kesihatan menunjukkan hubungan yang signifikan terhadap tindakan pencarian maklumat kesihatan. Sementara itu, tindakan pencarian maklumat kesihatan pula menunjukkan hubungan yang signifikan dengan faktor rujukan untuk bertindak . Faktor rujukan untuk bertindak pula menunjukkan hubungan yang signifikan dengan niat tingkahlaku iaitu kesungguhan responden untuk berubah (orientasi kesihatan). Kajian ini juga memperlihatkan bahawa faktor-faktor psiko-sosial (pengetahuan, sikap dan persepsi) bertindak sebagai keperluan awalan yang signifikan dalam mempengaruhi penglibatan kesihatan dan lain-lain faktor komunikasi . Regrasi secara hirarki memperlihatkan faktorfaktor psiko-sosial (pengetahuan, sikap dan persepsi) mempunyai hubungan yang signifikan dengan tingkahlaku pemakanan sihat. Sementara itu faktor penglibatan kesihatan dan sikap pula menunjukkan hubungan yang signifikan dengan aktiviti fizikal. Kajian ini menjelaskan Model Perancangan Komunikasi Kesihatan tidak boleh mengabaikan isu-isu komunikasi (penglibatan kesihatan, tindakan pencarian makulmat kesihatan, rujukan untuk bertindak) dalam mempengaruhi niat tingkahlaku untuk perubahan yang positif . Sementara itu faktor psiko-sosial (pengetahuan, sikap dan persepsi) menjadi keperluan asas dalam mempengaruhi proses komunikasi untuk perubahan tingkalaku kesihatan. Kajian ini membuktikan bahawa penglibatan kesihatan yang tinggi ataupun rendah akan menentukan kadar tindakan responden untuk mencari maklumat kesihatan. Model perancangan komunikasi kesihatan ini mencadangkan agar tindakan pencarian maklumat kesihatan juga perlu memenuhi kepenggunaan maklumat tersebut mengikut kehendak individu secara spesifik.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.
e-ISSN: 2289-1528