KEPERLUAN PEMBACA REMAJA TERHADAP KANDUNGAN AKHBAR

Akmar Hayati Ahmad Ghazali, Siti Zobidah Omar

Abstract


Akhbar menyediakan pelbagai maklumat yang dapat memperkayakan pengetahuan individu jika membacanya. Tren pembacaan akhbar khususnya remaja suatu ketika dahulu sangat memberangsangkan tetapi kini mula menampakkan penurunan. Pada tahun 2008, peratusan remaja yang membaca akhbar adalah sebanyak 54% tetapi menurun kepada 38% pada tahun 2011 dan 32% pada 2013. Berpandukan kepada statistik tersebut jelas menunjukkan bahawa remaja kini semakin kurang membaca. Tren menunjukkkan wujudnya jurang penerimaan akhbar yang ketara dalam kalangan golongan remaja. Penerimaan remaja terhadap akhbar ini menurun berasaskan kepada kandungan akhbar dikatakan kurang memenuhi keperluan mereka. Justeru, keperluan pembaca remaja terhadap akhbar perlu dikaji oleh organisasi media memandangkan ia adalah asas kepada penyediaan maklumat umum kepada pembaca khususnya remaja dan juga menentukan masa hadapan penerbitan akhbar itu sendiri. Berdasarkan kepada teori Kegunaan dan Pemuasan yang telah diutarakan oleh Katz, Haas dan Gurevitch (1973), kajian ini dijalankan bertujuan mengenal pasti faktor-faktor keperluan remaja terhadap akhbar. Seramai 387 orang remaja berumur antara 16 hingga 17 tahun, terdiri daripada murid-murid pelbagai kaum di 10 buah sekolah menengah kebangsaan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah dipilih sebagai responden kajian. Hasil kajian menunjukkan bahawa faktor yang menarik minat remaja membaca akhbar adalah faktor keperluan eskapisme dan kognitif berbanding perasaan, peribadi dan sosial. Ini adalah kerana akhbar kerap menerbitkan kandungan yang mengandungi elemen keperluan eskapisme iaitu artikel yang dapat melepaskan tekanan perasaan dan mengubati kesunyian. Adalah menjadi harapan agar hasil kajian ini dapat dijadikan rujukan oleh institusi akhbar dalam menerbitkan lebih banyak kandungan yang seimbang dari aspek kognitif, perasaan, peribadi, sosial dan eskapisme.

Full Text:

PDF

Refbacks

  • There are currently no refbacks.


e-ISSN: 2289-1528