Pengaruh Kepimpinan Beretika Terhadap Tingkah Laku Kerja Tidak Produktif: Komitmen Organisasi, Identifikasi Organisasi dan Kepercayaan Sebagai Pengantara
Abstract
Walaupun banyak kajian lepas mengemukakan kaitan signifikan antara gaya kepimpinan beretika dan tingkah laku, penjelasan terhadap hubungan tersebut masih kurang. Justeru, kajian ini dijalankan untuk menguji hubungan langsung antara gaya kepimpinan beretika dan tingkah laku kerja tidak produktif, serta hubungan tidak langsung menerusi pemboleh ubah pengantara komitmen organisasi, identifikasi organisasi, dan kepercayaan terhadap organisasi. Kajian dilakukan menggunakan soal selidik secara atas talian ke atas 161 responden yang terdiri daripada penjawat awam kumpulan pengurusan dan profesional di jabatan dan agensi kerajaan serta syarikat berkaitan kerajaan di Malaysia. Pengujian hipotesis dilakukan dengan menggunakan Model Persamaan Berstruktur dengan perisian AMOS. Hasil kajian menunjukkan peranan kepimpinan beretika yang signfikan dalam meramal tingkah laku kerja tidak produktif, serta peranan komitmen dan identifikasi organisasi sebagai mekanisme pengantaraan. Secara teorinya, kajian ini memanjangkan pengetahuan mengenai gaya kepimpinan beretika yang didapati berupaya mengurangkan tingkah laku kerja tidak produktif dalam kalangan pekerja sama ada secara langsung, atau menerusi peningkatan komitmen serta identifikasi pekerja terhadap organisasi. Kajian ini menyarankan organisasi menerapkam ciri-ciri kepimpinan beretika dalam modul program latihan dan pembangunan kepemimpinan pekerja.
Kata Kunci: Kepimpinan beretika; tingkah laku kerja tidak produktif; komitmen; identifikasi organisasi; kepercayaan organisasi.
Full Text:
PDFRefbacks
- There are currently no refbacks.
This journal is indexed by:
ISSN : 2180-3838
e-ISSN : 2716-6060